PENUBUHAN Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak pada 1969 menjadi titik awal permulaan pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini. Ketika itu, politeknik berkenaan menumpukan kepada beberapa bidang pengajian. Antaranya kursus juruteknik, perakaunan, teknologi galian, perancang bandar dan kampung, pengajian tanah dan trengkas. Perpindahan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian turut melonjakkan permintaan untuk mengikuti pendidikan di politeknik. Perkara ini menyaksikan perkembangan pantas cabang pendidikan teknikal itu yang kini berjumlah 27 buah di seluruh negara.
Sejak ditubuhkan, politeknik telah melahirkan seramai 305,900 pelajar di peringkat diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Seramai 86,430 pelajar pula sedang mengikuti pelbagai kursus ketika ini. Penambahbaikan juga dapat dilihat dari sudut penawaran kursus yang sesuai dengan pembangunan industri negara. Politeknik ketika ini menawarkan satu program diploma lanjutan berasaskan Work Based Learning, 49 program diploma, 37 program diploma pasca sijil dan 12 program asas bagi lepasan sijil kolej komuniti. Kursus lain yang ditawarkan adalah 20 program sijil politeknik dan lima sijil kemahiran khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Secara
asasnya, transformasi itu menunjukkan wujudnya usaha bersungguh-sungguh untuk
mengekalkan kredibiliti politeknik sebagai gedung melahirkan tenaga pakar dalam
bidang-bidang khusus. Namun perlu diakui, pusaran globalisasi yang begitu
pantas ketika ini menuntut satu pembaharuan politeknik yang lebih besar
daripada pelbagai sudut. Apatah lagi politeknik juga perlu bersaing dengan
sekian banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang jika
diukur daripada prestijnya adalah lebih tinggi. Hala Tuju Transformasi
Politeknik seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi hari ini
misalnya, adalah salah satu usaha ke arah pembangunan cabang pendidikan itu.
Pelan
ini menetapkan bahawa politeknik perlu diperkasakan dengan imej baru supaya ia
mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama di kalangan pelajar lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di samping itu, hala tuju baru itu juga
bertujuan melahirkan mahasiswa politeknik yang mempunyai kemahiran
kebolehdayaan diambil bekerja serta daya keusahawanan yang tinggi. Paling
penting, hala tuju itu diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat awam
terhadap pengajian di politeknik supaya lebih yakin dan positif.
Agenda
transformasi itu secara keseluruhannya menuntut sekurang-kurangnya satu
politeknik diiktiraf sebagai pemaju pendidikan latihan teknik dan vokasional di
peringkat serantau. Sasaran itu disandarkan kepada Politeknik Premier selaku
institusi ikon kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik.
Politeknik yang terpilih sebagai Politeknik Premier akan mengalami pembangunan
yang holistik dan menerajui kecemerlangan politeknik. Penganugerahan
Politeknik Premier bukan pengukur dalam penentuan kedudukan (ranking) keseluruhan
politeknik di Malaysia. Ia memberi gambaran bahawa politeknik tersebut
mempunyai potensi untuk mampu mencapai objektif agenda transformasi pada kadar
yang paling pantas dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pelajar dan
kakitangan serta bantuan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan.
Menurut
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Politeknik Premier
ini mempunyai sistem pengurusan dan keupayaan sumber manusia berdaya saing
dengan ciri-ciri kecemerlangan yang mampu mengubah paradigma politeknik masa
kini. Ia merupakan pemangkin kepada keseluruhan perubahan sistem pendidikan dan
latihan politeknik di Malaysia. ''Politeknik
Premier ini diharapkan menyumbang kepada penghasilan pekerja berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat kerajaan membangun dalam model
ekonomi berteraskan inovasi," katanya.
Di
samping itu, Politeknik Premier juga dituntut untuk memenuhi sasaran Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) Transformasi Politeknik. Ia perlu mencapai beberapa score
touch yang khusus untuk kekal bergelar Premier dalam masa tiga tahun.
Pertimbangan bagi permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh akan
dikemukakan untuk pelaksanaan program kecemerlangan yang dipercepatkan
atau Accelerated Programmes for Excellence. Politeknik
yang dipilih untuk diberi suntikan program sebegini merupakan politeknik yang
mempunyai potensi untuk berkembang dengan cepat dan diyakini mampu mencapai
objektif transformasi politeknik.
Konsep
pembangunan model Politeknik Premier berasaskan kepada pembangunan politeknik
yang holistik dan seimbang bertunjangkan dimensi asas iaitu Pelajar; Sumber
Manusia; Program; Institusi, Struktur dan Tadbir Urus serta Perhubungan dengan
Industri. Kelima-lima dimensi itu menjadi asas kepada pembentukan institusi
yang mampu menjana satu generasi pekerja dinamik dan progresif.
Penubuhan
Politeknik Premier itu penting bagi memastikan kelestarian penghasilan modal
insan negara. Sudah semestinya, Politeknik Premier itu membawa impak langsung
kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik dari beberapa
sudut. Antaranya, ia akan melonjakkan imej politeknik sebagai sebuah institusi
yang dinamik, responsif dan seiring dengan kehendak persekitaran. Ia juga akan
mewujudkan keanjalan dalam pelaksanaan dan pengendalian tadbir urus bagi
menjadikan institusi politeknik sebagai sebuah institusi yang mesra pelanggan.
Di samping itu, ia juga akan memberi tumpuan kepada penyampaian pendidikan dan
latihan yang berkualiti tinggi serta aktiviti penyelidikan yang boleh memberikan
impak besar kepada pembangunan institusi dan industri.
No comments:
Post a Comment