Monday, August 26, 2013

POLITEKNIK SEBAGAI INSTITUSI PILIHAN




PENUBUHAN Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak pada 1969 menjadi titik awal permulaan pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini. Ketika itu, politeknik berkenaan menumpukan kepada beberapa bidang pengajian. Antaranya kursus juruteknik, perakaunan, teknologi galian, perancang bandar dan kampung, pengajian tanah dan trengkas. Perpindahan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian turut melonjakkan permintaan untuk mengikuti pendidikan di politeknik. Perkara ini menyaksikan perkembangan pantas cabang pendidikan teknikal itu yang kini berjumlah 27 buah di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan, politeknik telah melahirkan seramai 305,900 pelajar di peringkat diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Seramai 86,430 pelajar pula sedang mengikuti pelbagai kursus ketika ini. Penambahbaikan juga dapat dilihat dari sudut penawaran kursus yang sesuai dengan pembangunan industri negara. Politeknik ketika ini menawarkan satu program diploma lanjutan berasaskan Work Based Learning, 49 program diploma, 37 program diploma pasca sijil dan 12 program asas bagi lepasan sijil kolej komuniti. Kursus lain yang ditawarkan adalah 20 program sijil politeknik dan lima sijil kemahiran khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

 
Secara asasnya, transformasi itu menunjukkan wujudnya usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kredibiliti politeknik sebagai gedung melahirkan tenaga pakar dalam bidang-bidang khusus. Namun perlu diakui, pusaran globalisasi yang begitu pantas ketika ini menuntut satu pembaharuan politeknik yang lebih besar daripada pelbagai sudut. Apatah lagi politeknik juga perlu bersaing dengan sekian banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang jika diukur daripada prestijnya adalah lebih tinggi. Hala Tuju Transformasi Politeknik seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi hari ini misalnya, adalah salah satu usaha ke arah pembangunan cabang pendidikan itu.

 
Pelan ini menetapkan bahawa politeknik perlu diperkasakan dengan imej baru supaya ia mampu bersaing dan menjadi institusi pilihan utama di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di samping itu, hala tuju baru itu juga bertujuan melahirkan mahasiswa politeknik yang mempunyai kemahiran kebolehdayaan diambil bekerja serta daya keusahawanan yang tinggi. Paling penting, hala tuju itu diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat awam terhadap pengajian di politeknik supaya lebih yakin dan positif.

 
Agenda transformasi itu secara keseluruhannya menuntut sekurang-kurangnya satu politeknik diiktiraf sebagai pemaju pendidikan latihan teknik dan vokasional di peringkat serantau. Sasaran itu disandarkan kepada Politeknik Premier selaku institusi ikon kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik. Politeknik yang terpilih sebagai Politeknik Premier akan mengalami pembangunan yang holistik dan menerajui kecemerlangan politeknik. Penganugerahan Politeknik Premier bukan pengukur dalam penentuan kedudukan (ranking) keseluruhan politeknik di Malaysia. Ia memberi gambaran bahawa politeknik tersebut mempunyai potensi untuk mampu mencapai objektif agenda transformasi pada kadar yang paling pantas dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pelajar dan kakitangan serta bantuan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Politeknik Premier ini mempunyai sistem pengurusan dan keupayaan sumber manusia berdaya saing dengan ciri-ciri kecemerlangan yang mampu mengubah paradigma politeknik masa kini. Ia merupakan pemangkin kepada keseluruhan perubahan sistem pendidikan dan latihan politeknik di Malaysia. ''Politeknik Premier ini diharapkan menyumbang kepada penghasilan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat kerajaan membangun dalam model ekonomi berteraskan inovasi," katanya.

 
Di samping itu, Politeknik Premier juga dituntut untuk memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Transformasi Politeknik. Ia perlu mencapai beberapa score touch yang khusus untuk kekal bergelar Premier dalam masa tiga tahun. Pertimbangan bagi permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh akan dikemukakan untuk pelaksanaan program kecemerlangan yang dipercepatkan atau Accelerated Programmes for Excellence. Politeknik yang dipilih untuk diberi suntikan program sebegini merupakan politeknik yang mempunyai potensi untuk berkembang dengan cepat dan diyakini mampu mencapai objektif transformasi politeknik.

 
Konsep pembangunan model Politeknik Premier berasaskan kepada pembangunan politeknik yang holistik dan seimbang bertunjangkan dimensi asas iaitu Pelajar; Sumber Manusia; Program; Institusi, Struktur dan Tadbir Urus serta Perhubungan dengan Industri. Kelima-lima dimensi itu menjadi asas kepada pembentukan institusi yang mampu menjana satu generasi pekerja dinamik dan progresif.

Penubuhan Politeknik Premier itu penting bagi memastikan kelestarian penghasilan modal insan negara. Sudah semestinya, Politeknik Premier itu membawa impak langsung kepada keseluruhan sistem pendidikan dan latihan di politeknik dari beberapa sudut. Antaranya, ia akan melonjakkan imej politeknik sebagai sebuah institusi yang dinamik, responsif dan seiring dengan kehendak persekitaran. Ia juga akan mewujudkan keanjalan dalam pelaksanaan dan pengendalian tadbir urus bagi menjadikan institusi politeknik sebagai sebuah institusi yang mesra pelanggan. Di samping itu, ia juga akan memberi tumpuan kepada penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti tinggi serta aktiviti penyelidikan yang boleh memberikan impak besar kepada pembangunan institusi dan industri.


 
 
 

Monday, August 19, 2013

PERMOHONAN KEMASUKAN KE POLITEKNIK KPM SESI DISEMBER 2013


Adalah dimaklumkan bahawa iklan permohonan kemasukan ke Politeknik bagi Sesi Akademik Disember 2013 telah dikeluarkan pada 18 Ogos 2013 melalui akhbar-akhbar utama Malaysia

Sehubungan dengan itu kepada pemohon yang berkelayakan SPM/Sijil/setaraf adalah dipelawa untuk mengemukakan permohonan bagi mengikuti Program Pengajian peringkat Diploma yang telah dibuka secara online di laman web http://www.politeknik.edu.my.

 Pelbagai program yang menarik ditawarkan di Politeknik mengikut minat dan kesesuaian calon. Program Diploma yang ditawarkan di Politeknik juga mendapat pengiktirafan oleh MQA dan setanding dengan institusi-institusi lain di negara kita.

 Jadi apa tunggu lagi mohonlah ke Politeknik.


Monday, July 15, 2013

UNIT HAL EHWAL PELAJAR

JOM KITA STUDY DI POLITEKNIK MUADZAM SHAH

Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah memulakan operasi pada 1 Ogos 2003 dan merupakan Politeknik ke-19 Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. PMS beroperasi di kampus sementara dengan penempatan staf akademik di Sek. Men. Teknik Muadzam Shah dan staf bukan akademik di Galeri Ilmu Muadzam Shah. PMS mempunyai seramai 139 orang kakitangan dan 352 orang pelajar pada sesi Jun 2010. Dua program yang ditawarkan di sini iaitu Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan). Politeknik ini menerima kemasukan pertama bagi program diploma pada sesi Julai 2009.

Politeknik Muadzam Shah telah mengeluarkan  graduan sulungnya seramai 63 orang dari pengambilan sesi Januari 2004 dan 77 orang dari sesi Julai 2004. Sebagai graduan perintis, mereka mendapat bimbingan daripada 46 kakitangan akademik  yang komited dalam melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran. Manakala bahagian pengurusan dan pentadbiran pula digerakkan melalui kerjasama 69 orang staf yang terdiri daripada kumpulan kakitangan pengurusan & profesional dan kakitangan sokongan.



Pada bulan Oktober 2011 kampus Politeknik Muadzam Shah siap dibina dengan keluasan 156 hektar dan proses perpindahan berlaku berperingkat-peringkat seiring dengan peningkatan jumlah pelajar. Sehingga kini Politeknik Muadzam Shah mempunyai 5 jabatan induk dan 2 jabatan sokongan dengan menawarkan 10 program. Jabatan induk tersebut adalah :
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang menawarkan program :

  • Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk Pembuatan Automotif)
  • Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Rekabentuk Produk)
  • Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automasi)
Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi menawarkan program :
  • Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian)
  • Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan)
Jabatan Perdagangan menawarkan program :
  • Diploma Akauntansi
  • Diploma Pengajian Perniagaan
Jabatan Pelancongan dan Hoapitaliti menawarkan program :
  • Diploma Pengurusan Pelancongan
  • Diploma Pengurusan Pelancongan (Taman & Rekreasi)
Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual
  • Diploma Rekbentuk Grafik
Sehingga kini pelajar yang berdaftar di Politeknik Muadzam Shah telah mencecah hampir 2300 orang pelajar dan jumlah ini dijangka akan meningkat dari masa ke semasa disebabkan permintaan terhadap program yang ditawarkan masih lagi menjadi minat pelajar lepasan SPM untuk mendalami bidang teknikal. Selaras dengan kemajuan yang dikecapi, Politeknik muadzam Shah telah dianugerahkan persijilan MS ISO 9001 : 2008 pada 6 Oktober 2009 oleh SIRIM QAS di dalam menghasilkan mutu pembelajaran dan pendidikan yang berkualiti.




UNIT HAL EHWAL PELAJAR
POLITEKNIK MUADZAM SHAH
LEBUHRAYA TUN ABDUL RAZAK
26700 MUADZAM SHAH
PAHANG DARUL MAKMUR
TEL : 09-4502005  FAX 09-4502007